Khamis, 1 April 2010

Pendidikan Seni Visual

Pendidikan Seni Visual ialah mata pelajaran wajib di peringkat sekolah menengah rendah dan mata pelajaran elektif di peringkat sekolah menengah atas. Mata pelajaran ini bertujuan membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya kesenian. Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual Kurikulum Bersepadu Sekolah rendah merangkumi tajuk-tajuk seperti menggambar, membuat rekaan da corak, membentuk dan membuat binaan serta kraf tradisional.

Menurut kamus dewan, seni membawa maksud halus iaitu kecil, elok, tipis dan halus, enak di dengar iaitu mengenai suara, comel bentuk badan manakala . seni,II: membawa maksud karya termasuklah sajak, lukisan, muzik dan lain lagi yang dicipta dengan bakat atau kecekapan dan hasil daripada sesuatu ciptaan. Visual pula dari segi bahasa bermaksud tampak iaitu yang boleh dilihat melalui deria penglihatan. Terdapat juga istilah seni rupa, seni halus, seni lukis dan seni reka.

Dalam Ensiklopedia Malaysiana (1996 ) ialah satu istilah yang digunakan bagi sesuatu yang indah-indah pada pandangan pacaindera manusia samada melalui penglihatan atau pendengaran. Menurut buku Fine art in Islamic civilization (1981),pemikir islam iaitu imam Al- Ghazali memperkatakan bahawa seni itu indah melalui pandangan kecantikan dan keindahan. Oleh itu penjelasan konsep seni visual bolehlah didasarkan kepada beberapa aspek pernyataan diri ( self expression), pengalaman dan sensasi visual dan sentuh samada dalam bentuk 2D dan 3D.

Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan reka bentuk persekitaran. Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Karya seni visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin disampaikannya. Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka.

Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999). Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.

TASKA ATAU TADIKA

1. Apakah itu TASKA?
TASKA adalah singkatan kata dari Taman Asuhan Kanak-Kanak. Dimana ianya merupakan tempat penjagaan kanak-kanak yang berumur 4 tahun ke bawah. TASKA adalah berbeza dari TADIKA dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak. Tujuan TASKA diadakan ialah untuk membantu ibubapa menjaga anak-anak mereka sepanjang ketiadaan ibubapa.

2. Adakah TASKA dan TADIKA perniagaan yang sama?Tidak! TASKA dan TADIKA adalah 2 perniagaan yang berbeza. Permohonan untuk menubuhkan TASKA perlu dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala permohonan untuk menubuhkan TADIKA perlu dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri. Oleh kerana TASKA dan TADIKA di bawah bidang kuasa badan yang berlainan, maka kertas kerja, peraturan, Akta penguatkuasaannya juga berbeza.

Lima Sebab Mengapa Penyelesaian Masalah Perlu Ditekankan Dalam Kurikulum Matematik:

1 Membina Minda Pelajar supaya Berfikiran Kritis dan Kreatif.
Pelajar yang mempunyai fikiran yang kritis dan kreatif dapat menyelesaikan masalah harian mereka dengan baik dan tepat. Pelajar tersebut akan menggunakan pelbagai alternatif yang sesuai dengan masalah yang dihadapi. Jika alternatif yang digunakan tidak dapat menyelesaikan masalah, maka mereka akan mencuba menggunakan alternatif yang lain. Sehinggalah masalah yang dihadapi itu benar-benar dapat diselesaikan. Contoh ialah Afifi tertinggal bas sekolah kerana bangun lewat. Jika Afifi seorang yang tidak kreatif dia akan ponteng sekolah pada hari itu tetapi jika dia seorang yang kreatif dia akan menumpang jiran atau kawannya yang tinggal berhampiran denganya. Afifi juga boleh menggunakan alternatif lain iaitu dengan menaiki teksi.

2 Menguruskan Belanjawan Seharian
Pelajar yang tahu menguruskan belanjawan akan melahirkan generasi yang berjimat cermat. Belanjawan yang dibuat setelah ibu bapa memberi wang saku membolehkan pelajar tersebut mempunyai cukup wang untuk makan, keperluan alat tulis malah menabung. Sistem belanjawan yang telah dirancang dapat membantu pelajar mengurus wang untuk kehidupan masa depan mereka. Contohnya Fatin seorang pelajar yang boros berbelanja. Dia mendapat wang saku sebanyak RM20 bagi satu minggu. Dia menghabiskan wang sakunya dengan membeli alat tulis yang mahal semata-mata mahu menunjuk-nunjuk kepada rakan sekelasnya. Apabila hendak membeli buku latihan yang disuruh oleh guru Sainsnya, dia sudah tidak mempunyai wang lagi. Berlainan pula dengan Alisya, dia membahagikan RM20 kepada lima hari persekolahan. Malah dia menabung bagi wang baki setiap kali selepas berbelanja. Apabila guru meminta dia membeli buku latihan dia sudah boleh menggunakan wang tabungnya. Ini menunjukkan bahawa Alisya boleh menyelesaikan masalah kewangan sehariannya.


3 Membuat Sukatan yang Tepat
Sukatan merupakan salah satu daripada cabang matematik. Terma-terma seperti meter, liter, persegi, kaki dan padu perlu dikuasai dengan berkesan. Barulah kita dapat melakukan sukatan dengan betul. Kita juga menggunakan sukatan untuk menyukat makanan, melaksanakan jual-beli dan menentukan isipadu barangan di kilang-kilang. Pelajar yang mahir dalam sukatan dapat mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya sorang tukang masak, dia memerlukan sukatan yang tepat untuk menghasilkan resepi yang sedap. Untuk mempamerkan masakan mereka lebih menarik, mereka akan meletakkan makanan tersebut ke dalam pinggan yang bersesuaian dan menghias makanan tersebut dengan dekorasi bagi menarik minat orang yang hendak memakan makanan tersebut. Seorang tukang masak dapat menyelesaikan masalah masakannya dengan penggunaan sukatan yang tepat, teknik menghidang dan menghias masakan tersebut.

4 Pengiraan Untung dan Rugi
Topik untung dan rugi diajar kepada murid tahap dua dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Pelajar yang mahir dalam menyelesaikan masalah untung dan rugi dapat mengaplikasi kemahiran tersebut sewaktu membeli-belah di pasaraya. Sewaktu jualan potongan harga dibuat, pelajar boleh membuat pengiraan untuk menentukan sama ada untung atau rugi jika barangan tersebut dibeli. Contohnya Khairul hendak membeli sebuah mesin basuh automatik dengan harga RM1879 dan mendapat potongan harga sebanyak 30 peratus. Jika Khairul seorang yang bijak dia akan membuat pengiraan terlebih dahulu sebelum membeli kerana mungkin ada pilihan lain yang lebih murah dari itu.

5 Pengurusan Masa
Pelajar boleh menyelesaikan masalah tidak cukup masa untuk membuat kerja sekolah, ulangkaji pelajaran, belajar dan rehat dengan membina jadual. Pelajar yang bijak akan membina jadual harian, mingguan, bulanan malah tahunan bagi menguruskan masa seharian mereka. Pengurusan masa yang baik membolehkan pelajar mencapai tahap kecemerlangan di dalam pelajaran. Ramai pelajar yang berjaya berpunca daripada belajar mengikut jadual yang disediakan. Contonya Shauqi, seoarang pelajar yang belajar mengikut jadual belajar yang telah disediakan olehnya hasil perbincangan dengan ibu bapanya. Dia dapat menyiapkan kerja sekolah tepat pada masanya, boleh mengulangkaji pelajaran dan belajar berkumpulan. Dia juga boleh menghadiri kelas tambahan, berehat dan beriadah. Ini semua disebabkan oleh penggunaan jadual dan pengurusan masa yang baik.

Penyelesaian Masalah Dalam Matematik

Pengetahuan matematik boleh dikategorikan dalam lima jenis iaitu fakta, algoritma, konsep, hubungan antara konsep dan penyelesaian masalah. Penyelesaian masalah merupakan satu aspek yang sangat penting dan merupakan objektif utama dalam pembelajaran matematik. Ia
juga merupakan bentuk pembelajaran pada tahap yang tertinggi (Gagne, 1985). Pelajar diharapkan dapat membina pengetahuan dan kemahiran baru melalui proses penyelesaian masalah, menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kurikulum matematik serta mengaplikasikan pelbagai strategi penyelesaian masalah matematik dalam konteks yang berbeza.

Menurut Krulik dan Rudnick (1989), penyelesaian masalah merupakan satu proses yang kompleks dan sukar dipelajarinya. Ia mengandungi satu siri tugasan dan proses pemikiran yang dihubungkait rapat untuk membantu pembentukan satu set heuristik atau corak heuristik. Ia merupakan satu set cadangan dan soalan yang harus dilalui oleh pelajar untuk membantunya dalam penyelesaian masalah. Heuristik adalah kaedah umum yang dapat diaplikasikan kepada semua kelas masalah.

Terdapat beberapa model penyelesaian masalah yang sering digunakan dalam pendidikan
matematik seperti Model Lester (1975), Model Mayer (1983), Model Polya (1973) dan Model Schoenfeld (1985). Model Polya digunakan di sekolah dalam kurikulum matematik bagi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan sekolah rendah (KBSR). Menurut Noor Shah Saad (2005: 182), Model Polya merupakan model penyelesaian masalah Matematik yang dibina oleh George Polya. George Polya telah memperkenalkan satu model penyelesaian masalah dalam bukunya ‘How to Solve It’ yang memberi tumpuan teknik penyelesaian masalah yang menarik dan juga prinsip pembelajaran matematik dapat dipindahkan sebaik mungkin. Model ini membabitkan empat fasa utama iaitu:
i) Memahami dan mentafsir sesuatu masalah
ii) Merancang / membentuk rancangan penyelesaian
iii) Melaksanakan peneyelesaian
iv) Menyemak semula

Masalah matematik berayat sememangnya merupakan komponen penting dalam kurikulum matematik KBSR. Ini jelas tergambar dalam komponen soalan matematik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008, yang terdiri daripada 70% soalan berbentuk masalah berayat (Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia [LPKPM], 2008). Kajian menunjukkan murid sekolah rendah belum berupaya menyelesaikan masalah matematik berayat walaupun mereka menguasai kemahiran menjalankan operasi secara prosedural (Mokhtar et al., 2001; Third International Mathematics and Science Study [TIMSS], 1999; Fatimah, 1999; Hassan, 1998; Mohd. Daud et al., 1997). Fenomena ini nampaknya secocok dengan kajian di luar negara seperti Verschaffel et al. (1999), Bransford et al. (1996), dan Hegarty et al. (1995) yang mendapati masalah matematik berayat menimbulkan banyak kesukaran dan kesilapan di kalangan murid peringkat awal persekolahan.

Dalam menjelaskan tentang teknik penyelesaian masalah matematik, murid cenderung menyelesaikan masalah matematik menggunakan teknik menghafal prosedur dan operasi matematik, menggunakan angka-angka dan istilah yang menjadi kata kunci (Mohd Uzi, 1999; Hassan, 1998; dan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan [JNSP], 1993). Selain itu, murid melaksanakan penyelesaian tanpa memahami dengan sempurna maksud keseluruhan sesuatu masalah semasa menyelesaikan masalah matematik berayat (Bransford et al., 1996; dan Hegarty, 1995).

Tidak dinafikan bahawa teknik menghafal prosedur dan operasi dapat menghasilkan penyelesaian yang betul bagi masalah matematik yang rutin. Dalam penyelesaian masalah matematik, murid tidak harus dikongkong oleh satu teknik penyelesaian yang biasa disampaikan oleh guru sahaja. Teknik lain yang sesuai perlu digalakkan, lebih-lebih lagi yang bersesuaian dengan peringkat perkembangan kognitif murid, pengalaman dan persekitaran pembelajaran yang dilalui oleh murid.

Cergaslah Muridku

Kecergasan keseluruhan mengambil kira aspek-aspek fizikal, mental, emosi dan sosial. Hampir semua pergerakan fizikal pada tahap-tahap tertentu melibatkan elemen-elemen seperti daya, kecepatan, jangka masa, komplesiti dan julat pergerakan. Seseorang mungkin memahami aspek motor seseorang individu sebagaimana komponen fisiologikal seperti kekuatan, kelajuan, ketahanan dan koordinasi. Dari sudut latihan tumpuan utama mungkin dari segi memantapkan seseorang atlit melalui komponen fisiologikal yang lebih dikenali sebagai keupayaan kecekapan biomotor selain dari mempertingkatkan kemahiran.

Kecekapan/keupayaan seseorang individu melakukan sesautu latihan di anggap satu penyebab dan pergerakan itu sendiri sebagi kesan. Kecekapan untuk mengawal penyebab untuk melaksanakan kesan yang berhasil adalah di perlukan. Menilai tahap kecergasan fizikal atlit perlu dilakukan untuk menilai apakah mereka mencapai standart yang telah di tetapkan.

Guru Hebat

Menurut Ng Kim Choy (1999), sistem pendidikan yang berpusatkan guru serta mengutamakan pencapaian peperiksaan boleh menimbulkan beberapa gejala yang kurang sihat seperti kebosanan, masalah disiplin dan sebagainya.

Dalam bidang pendidikan, tugas guru ialah mendidik dan membentuk manusia yang mempunyai perbezaan daripada segi kebolehan kognitif, afektif dan psikomotor. Ini bermakna pelajar yang diajar oleh guru adalah berbeza-beza kebolehan intelek, kebolehan fizikal dan kesediaan emosi (Esah Sulaiman, 2003).

Mendidik manusia berilmu bukan perkara mudah kerana memerlukan usaha yang berterusan. Guru hendaklah mendidik murid dengan penuh semangat dan kesungguhan. Mereka juga perlu mengemaskinikan teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan semoga apa yang diajarkan akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid. Dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang dipelajari (Berita Harian, 23 Mei 2005).

Sehubungan itu, guru perlu menjadikan pendidik yang cemerlang dalam menangani cabaran kerjaya masa depan. Mereka boleh menjadikan ciri-ciri pembelajaran secara kontekstual sebagai panduan untuk berhadapan dengan tingkah laku, prestasi dan pencapaian akademik pelajar yang berbeza.

Pembelajaran Berbantukan Komputer

Menurut Taylor (dalam Barta, 1995) penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan
pembelajaran boleh dikelaskan kepada tiga bentuk iaitu :
(a) komputer sebagai tool,
(b) komputer sebagai tutor,
(c) komputer sebagai tutee.

Sebagai tool, komputer membantu guru atau pelajar dalam membuat sesuatu tugasan. Antara perisian yang tergolong dalam kategori ini ialah pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, persembahan, pangkalan data, grafik, telekomunikasi, dan penerbitan meja. Sebagai tutor, komputer berperanan mengajar pelajar. Perisian yang terlibat ialah yang berbentuk tutorial, latih tubi, simulasi, permainan berbentuk pembelajaran, dan perisian penyelesaian masalah. Sementara komputer sebagai tutee, pelajar mengarah komputer dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan seperti logo, BASIC, dan Pascal untuk melakukan sesuatu perkara.

Dalam perkembangan yang berkaitan, BTP (2002) menggariskan empat pendekatan atau
kaedah bagi penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu :
(a) penggunaan ICT secara tutoran,
(b) penggunaan ICT secara penerokaan,
(c) ICT sebagai alat aplikasi, dan
(d) ICT sebagai alat komunikasi.

Kaedah penggunaan ICT secara tutoran menekankan penggunaan bahan yang berdasarkan
susunan yang tetap atau modul dalam portal pendidikan dan penjelajahnya dikawal oleh sistem. Kaedah penggunaan ICT secara penerokaan menjurus kepada penggunaan bahan cakera padat, portal maklumat atau internet untuk mengumpul maklumat bagi melaksanakan tugasan tertentu di mana muatan dan penerokaannya dikawal oleh pelajar.
Kaedah ICT sebagai alat aplikasi pula memberi tumpuan kepada penggunaan aplikasi untuk menjanakan produk dan melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat persembahan hasil perbincangan menggunakan aplikasi Microsoft PowerPoint. Sementara kaedah ICT sebagai alat komunikasi adalah pendekatan berhubung dengan pihak lain atau sumber maklumat daripada lokasi yang berbeza menerusi aplikasi komunikasi seperti e-mel, persidangan video (video conferencing), chat, messenger dan sebagainya.

Selain kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan teknologi, terdapat tiga lagi kaedah yang dikemukakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), KPM yang boleh dilaksanakan di sekolahsekolah.

Prinsip-Prinsip Latihan Kecergasan Fizikal

Dalam prinsip-prinsip latihan kecergasan fizikal, ia terdapat 3 perkara yang dipertimbangkan dalam merancangkan program latihan:
1. Intensiti latihan berdasarkan prinsip lebihan beban
2. Kekerapan latihan
3. Masa latihan
Semua aktiviti kecergasan fizikal dimulakan dengan:
1. Memanaskan Badan
2. Latihan Berprogresif
3. Penyejukan Badan
Ketiga-tiga fasa ini adalah penting bagi setiap program latihan.
Prinsip-prinsip peraturan latihan mesti menitiberatkan faktor-faktor umum seperti:
1. Aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan kebolehan dan kemampuan badan
2. Menggunakan prinsip beban saraf
3. Menggunakan prinsip ansurmaju(progresif) dalam intensity aktiviti
4. Menggunakan prinsip pengkhususan(specificity)

Intensiti Latihan
Untuk meningkatkan keupayaan dayatahan kardiovaskular serta dayatahan otot,latihan yang bercorak lebihan beban adalah lebih mendatangkan kesan. Semasa menjalankan gerak kerja latihan, kadar nadi jantung menggambarkan tenaga yang diperlukan serta pengambilan oksigen yang bertambah.Dengan sebab inilah maka kadar nadi latihan digunakan sebagai satu pengukuran yang mudah untuk menilai tekanan fisiologi badan. Kadar nadi dijadikan sebagai satu pengukuran lazim bagi menentukan tahap intensity latihan di dalam semua gerak kerja latihan kecergasan fizikal. Menurut pakar-pakar fisiologi kadar nadi latihan yang berdasarkan kepada 75% daripada perbezaan diantara kadar nadi maksimum dengan kadar nadi rehat(75% X KNM-KNR) adalah satu pengukuran intensity kerja yang menasabah dan selamat untuk memberi kesan kepada tubuh badan.

Kekerapan Latihan
Latihan yang kerap adalah disyorkan untuk meningkatan tahap kecergasan yang memuaskan. Gerakerja kecergasan haruslah dijadikan sebahagian daripada aktiviti hidup. Kekerapan latihan menjaminkan peningakatan kecergasaan fizikal di samping menyeronokkan suasana hidup yang jauh dari penyakit. Latihan sebanyak 3 kali seminggu sudah mencukupi bagi seseorang individu menjaga kesihatannya. Latihan seperti ini hendaklah berterusan secara sederhana pada peringkat permulaan dan menambahkan intensitinya (beban latihan) menerusi program yang panjang apabila fisiologi badan telah bersedia melakukan aktiviti yang dicadangkan. Latihan yang mengandungi intensity yang rendah dan melalui jangka masa yang pendek akan menghasilkan tahap kecergasan yang rendah. Latihan suaian fizikal yang tinggi dapat menyempurnakan kehendak fisiologi dan psikologi seseorang individu semasa dalam tekanan jiwa atau menghadapi kecemasan. Kecergasan yang sempurna menguntungkan setiap individu.

Masa Latihan
Masa latihan bergantung rapat dengan intensiti aktiviti latihan. Keupayaan menaikkan kadar nadi ke tahap 75% daripada paras 0%(kadar nadi rehat) semasa aktiviti latihan dijalankan dan dalam jarak masa melebihi 30minit adalah cukup bagi menghasilkan kecergasan yang signifikan. Adalah tidak wajar sekiranya intensity latihan diusahakan ke tahap 75% pada peringkat permulaan latihan suaian fizikal oleh kerana tubuh badan belum bersedia untuk menerima bebanan yang tinggi. Latihan suaian fizikal pada peringkat permulaan ini hendaklah dihadkan dalam lingkungan 50% kadar nadi latihan dan sesi latihannya pula diturunkan kepada 15-20minit. Di peringkat ini,masa pemulihan adalah kerap bagi mengelakkan diri daripada kecederaan, penyesuaian fisiologi badan kepada latihan lebih penting daripada tahap pencapaian latihan yang tinggi.

Pembelajaran Strategi Kontekstual

Menurut Dr. Zolazlan Hamidin (2001), kontekstual jika diambil daripada ayat asalnya dalam Bahasa Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum=woven) bermaksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud keadaan, situasi dan kejadian.

Secara umum, kontekstual membawa pengertian:

1. Yang berkenaan, releven, ada hubungan atau kaitan langsung, mengikut konteks.

2. Yang membawa maksud, makna dan kepentingan (meaningful).
Oleh itu, kaedah kontekstual iaitu kaedah yang dibentuk berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, seharusnya mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan atau releven bagi mereka, dan juga memberi makna dalam kehidupan seharian mereka.

Kesimpulannya Pengajaran secara kontekstual ialah proses pengajaran guru yang mengaitkan ilmu yang dipelajari dengan pengalaman seharian perseorangan, masyarakat dan dunia pekerjaan. Pengajaran ini melibatkan perkongsian pemikiran dan pengalaman guru untuk member kefahaman kepada pelajar kerana proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri melibatkan pelajar, pengajar dan bahan pengajaran. Selain daripada itu, pengajaran ini juga menghubungkan isi pelajaran dengan dunia sebenar, proses interaksi antara pelajar dengan pelajar yang lain serta menjadikan situasi pengajaran di kelas sebagai simulasi kepada tempat kerja. Pelajar juga disediakan dengan aplikasi amali untuk dipelajari (Hull D., 1995).

Mengikut teori pembelajaran kontekstual, pembelajaran hanya akan berlaku apabila murid dapat memproses maklumat dan pengetahuan baru dengan cara yang bermakna kepada mereka. Guru digalakkan memilih atau mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangkumi pelbagai pengalaman sama ada dalam konteks sosial, budaya, fizikal atau psikologi.

Apa Itu Ujian

Ujian merupakan suatu instrumen yang digunakan untuk mendapat maklumat murid. Ia boleh mengambil beberapa bentuk seperti soalan bercetak atau lisan, bateri prestasi tahap fizikal, pemerhatian tingkah laku melalui senarai semak atau rekod anekdotal.

Menurut Borhan Yusof (2008), ujian ialah satu instrumen atau alat yang digunakan untuk mendapatkan maklumat murid sebelum, semasa, dan selepas pengajaran. Pengukuran ialah suatu proses mengutip maklumat berangka tentang ciri-ciri tertentu yang dipunyai oleh seseorang . pengukuran juga boleh ditakrifkan sebagai membina, mentadbir dan memberi nilai kepada ujian. Manakala penilaian merupakan suatu proses untuk mengumpul, menganalisis dan mentafsir data yang dikutip. Ia juga meliputi ujian dan pengukuran.

Menurut Ahmad Hashim (2004), menyatakan prosedur sebelum sesuatu ujian ialah perancangan yang dilakukan sebelum melaksanakan ujian yang sebenar. Ia dilakukan bertujuan bagi menjamin bahawa segala persediaan ujian adalah mencukupi dan diharapkan bahawa pentadbiran ujian tersebut akan berjalan dengan lancar. Manakala melalui ujian pasca prosedurnya melibatkan analisis data ujian membuat penilaian dan menyimpan rekod pencapaian ujian secara individu dan berkumpulan. Semua skor ujian perlu di analisis dengan menggunakan teknik statistik yang bersesuaian dengan tujuan ujian. Segala data dan juga maklumat yang bakal diperoleh akan diproses, dianalisa dan dihuraikan dalam bentuk min, sisihan piawai, dan juga melalui ujian t-test.